Saya baru habis membaca novel ini pagi tadi. Memang best! Kamu rasa saya jiwang? Tidak kisah la, sebab saya minat membaca novel dari dulu lagi. Dan minat ini hanya lah kepada novel dan komik. Buku akademik? *ehem...* hahahahaha...
Sinopsis novel:
Semusim telah berlalu, Kristal terus berlari meninggalkan kenangan cinta yang tidak kesampaian. Walaupun kasihnya terhadap Farish sedalam lautan, dia tahu hanya perpisahan jalan terbaik buat mereka. Duka lara ini tidak mudah untuk diungkapkan, saat senyum dan tangis menyatu. Namun, Kristal tidak mahu berpaling ke belakang lagi. Persahabatan yang dihulur Melur mengisi separuh kesepian Kristal. Mereka sering berkongsi cerita dan mencurah rasa. Persamaan jiwa wanita keduanya saling memahami. Biarpun sering dipandang sinis oleh segelintir teman dan keluarga, Kristal dan Melur bahagia dengan takdir yang tertulis buat mereka. Malah, Kristal percaya bahawa jodoh pertemuan itu adalah rahsia Yang Maha Pencipta. Hanya DIA yang mengerti betapa berat usikan dan sindiran yang diterima lantaran usia yang semakin ditelan masa. Menemukan keindahan warna-warna cinta sememangnya satu perjalanan yang jauh dan panjang. Semakin jauh Kristal berlari, semakin dekat rindu itu datang. Sehinggalah pada suatu pertemuan yang tidak diduga, cinta Farish kembali menggugah jiwanya.
Dipetik dari: Sinopsis Novel Puteri Cinta
Dipetik dari: Sinopsis Novel Puteri Cinta
Sinopsis saya:
Novel ini mengisahkan tentang Kristal yang merupakan seorang wanita berusia 30-an dan masih belum berkahwin. Perkenalan dengan Melur banyak mempengaruhi hidup Kristal. Melalui Melur, Kristal mengenali Farish Ahmad, seorang CEO muda yang sangat menyusahkan hidup Kristal kerana sebuah peristiwa yang telah berlaku. Farish Ahmad tertarik pada Kristal kerana Kristal tidak seperti wanita lain yang dikenalinya. Kristal tidak menyenangi Farish Ahmad kerana nama itu hampir sama seperti nama kekasih lama Kristal, Farish Daniel, dan juga tindakan-tindakan beliau yang dia rasakan amat melampau dan suka berperangai gila. Disebabkan suatu peristiwa lalu antara Farish Daniel dan Kristal menyebabkan Kristal tidak suka berdamping dengan keluarga orang kenamaan. Perhubungan Kristal dan Melur sangat rapat serta sukar digambarkan. Kristal telah tersangkut dalam permasalahan keluarga Melur kerana Kristal menolong Melur untuk berjumpa dengan kekasihnya, Noel, yang telah mempunyai isteri. Oleh kerana Melur berasal dari keluarga Diraja, perhubungan mereka ditentang oleh keluarga Melur. Selepas konflik tersebut, Kristal dikejutkan lagi dengan kehadiran isteri Ashman, rakan sekerja Kristal, menuduhnya mempunyai hubungan sulit dengan Ashman. Kristal menafikannya kerana dia tidak tahu bahawa Ashman memang mempunyai suatu perasaan yang berlainan terhadap Kristal. Kristal melarikan diri dan telah bertemu dengan kekasih lamanya, Farish Daniel. Pertemuan semula mengugat perasaan Kristal yang masih mencintai Farish Daniel. Namun insiden penculikkan Kristal telah meletakkan dirinya dalam keadaan yang trauma. Dalam masa yang sama, Farish Daniel dan Farish Ahmad telah bersemuka. Mereka telah mencapai kata sepakat. Dengan pertolongan Tengku Iskandar, kekanda Melur, Kristal mempunyai harapan untuk bertemu semula dengan Melur. Namun, kematian Farish Ahmad di tanah suci telah membantutkan pertemuan itu dan Melur telah meninggal dunia disebabkan penyakit Hodgkin's lymphoma. Mengalami kejutan yang mendadak menyebabkan sekali lagi Kristal mengalami tamparan hebat. Setelah 3tahun ke Australia untuk merawat trauma, Kristal kembali ke Malaysia untuk menjelaskan 'hutang' kepada Farish Ahmad. Akhirnya, Farish Ahmad bersama-sama dengan Fatimah Zahrah, sepupu Kristal dan Kristal masih belum memberi respon terhadap Tengku Iskandar.
Pendapat saya:
Novel ini mempunyai plot-plot dan jalan cerita yang menarik. Kejutan demi kejutan berlaku dan menggambarkan keperitan hidup yang melanda Kristal. Persahabatan luhur di antara Kristal dan Melur amat menyentuh kalbu dan sukar untuk ditafsirkan. Cinta Farish Daniel dan Kristal yang masih kuat walaupun telah lebih 10tahun berpisah juga menggambarkan cinta yang sangat utuh. Cinta Farish Ahmad kepada Melur tidak kesampaian namun Farish Ahmad setia kepada perasaannya terhadap Melur sehingga Melur berkahwin dengan Noel. Nilai persahabatan, cinta dan keluarga jelas digambarkan dalam novel ini. Konflik dalam keluarga juga dipaparkan. Gaya penulisan yang bersahaja, diselitkan dengan sedikit humor melalui watak Farish Ahmad yang nakal dan berperangai gila. Secara keseluruhan, novel ini akan memberikan kejutan demi kejutan dalam penceritaannya.
(Entri ini ditulis dalam bahasa Melayu kerana novel ini novel Melayu. )
asal nama Daniel je mesti hensemboy.
ReplyDeleteye ke?
ReplyDeletetak sure la plak...:)